Saturday, January 3, 2009

Bab 1: Aqidah Islam

(malaikat, kitab samawi, hari akhirat dan qadar tidak dibincangkan)







Diterangkan aqidah yang benar terlebih dahulu sebelum dihuraikan permasalahan ajaran sesat, agar kita dapat memahami aqidah yang benar sebagai seorang muslim. Bak kata guru saya "jika kita mengenal kebenaran terlebih dahulu maka mudah bagi kita untuk mengenal kesesatan"

Objektif pemahaman aqidah Islam terlebih dahulu supaya kita kembali kepada sumber asal ‘Aqidah Islam iaitu Qur’an dan Sunnah yang sahih mengenai ketuhanan dan kenabian, sebagaimana yang difaham oleh Khalaf dan Salaf. Khalaf adalah dalam bentuk Sifat Dua Puluh dan Salaf terus menggunakan ayat Qur’an dan hadis sekalipun ayat mutasyabihat tetapi mereka tiada ta ‘wil, tiada ta ‘til, tiada tafwidh dan tiada tasybih berasasakan : اقرأوها كما جأت Bacalah sebagaimana diturunkan. Memberi kefahaman sebenar erti tauhid, juga kenabian dan peranan Sahabat dalam menyampaikan Islam.

Matlamatnya
Untuk menyedarkan pembaca bahawa Aqidah Islam berdasarkan Quran dan Sunah yang sahih terutama menurut cara atau manhaj Salaf amatlah mudah difaham. Juga diperkenalkan cara Sifat Dua Puluh khalaf tetapi dijauhi daripada kerumitan bid’ah Ilmu Kalam yang tiada berkesudahan itu. Diakhiri dengan beberapa ingatan bahawa perkara-perkara yang menyalahi ‘Aqidah inilah yang menjadi punca kesesatan seseorang.



Islam, Iman, dan Ihsan
Islam ialah mengucap dua kalimah syahadat لا اله الا الله محمد رسول الله (Tiada sebenar disembah melainkan Allah), dan (Muhammad Pesuruh Allah), mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dibulan Ramadhan, dan mengerjakan haji.

Iman pula ialah beriman dengan Allah ( Dia Maha Pencipta yang disembah dengan sebenarnya, bagi-Nya sifat-sifat yang layak dengan kebesaran-Nya yang tidak menyerupai makhluk), percayakan malaikat, dan kitab-kitab-Nya (Taurat, Injil, Zabur, dan akhir sekali al-Quran yang menasakhkan semuanya itu), rasul-rasul-Nya, dan hari kiamat: hari amalan manusia dihisab, dan qadar baik dan jahat (rela menerima apa yang ditakdirkan Allah di samping pengambilan sebab dan ikhtiar).

Ihsan pula ialah dikau menyembah Allah seolah melihat-Nya, sekalipun dikau tidak meihatnya tetapi Dia melihatmu.

Bila disebut Iman termasuk Islam, dan boleh juga dikatakan sebaliknya: Islam ialah aspek zahir amalan, manakala iman adalah aspek i’tiqad dalam hati. (Orang Islam digelar muslim, dan orang beriman digelar mu’min). Maka mu’min itu lebih umum dan muslim itu lebih khusus, Setiap mu’min sudah tentu dia muslim, tetapi bukan semua muslim itu mu’min. Islam tidak termasuk i’tiqad dan amal keduanya sekali, tetapi Iman adalah termasuk keduanya sekali, kerana orang yang beramal tanpa ada i’tiqad maka dia bukanlah sebenarnya orang yang beragama (diniy) yang diredha’i. Maka dalam hal ini diingatkan kita kepada hadith Jibril berhiwar dengan Rasulullah, dalam satu majlis para Sahabat yang termasyhur itu, tentang apa erti iman, Islam dan Ihsan. (Erti tiga perkara ini telah disebutkan pada awal perbincangan ini). Tujuan kedatangan Jibril itu ialah “hendak mengajar kamu tentang Din kamu” sabda Rasulullah (Fathul Bari: Kitabul Iman Bab 37).’ Maka Islam adalah nama bagi amalan zahir, dan iman adalah nama bagi i’tiqad batin. Tetapi ini bukan bererti amalan bukan daripada Iman, dan tasdik bukan daripada Islam, malah keduanya terhimpun dalam perkara yang satu iaitu agama atau Din. Sebab itu dalam hadith tcrsebut Rasulullah ada bersabda, “Jibril datang kerana hendak mengajar kamu akan Din kamu”. Firman Alah dalam surah al-Maidah (5:3) ورضيت لكم الاءسلم دينا


Terjemáhnya, Dan telah Aku redhai Islam itu jadi(Din) bagimu. Dalam surah ali_Imran (3:85) ada menyebutkan bahawa: Barangsiapa mencari agama (Din) selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya.

Ihsan (berbuat baik) yang dimaksud dalam hadith itu ialah “tekun beribadat”, Ihsan itu ialah musyahadah atau melihat Allah dengan hati seolah si ‘abid itu melihat-Nya dengan mata. Maka inilah maksud “seolah engkau melihat-Nya” ertinya Dia melihatmu. Sebab itu si ‘abid itu menghadhirkan dalam hatinya bahawa Allah melihat akan setiap apa yang dilakukan. Maka inilah maksud “maka sesungguhnya Dia melihat engkau”. Dua hal ini membuahkan ma'rifat dan takutkan Allah, sebagaimana dalam riwayat hadith Anas أن تخشى الله كأ نك تراه bermaksud "Engkau takutkan Allah seolah melihatnya". Kata Nawawi, maksud hadith ini ialah si ‘abid itu menjaga adab kerana engkau melihat-Nya dan Dia melihat engkau, kerana Dia melihat engkau bukan engkau melihat-Nya tetapi Dia berterusan melihat kau. Maka ihsankanlah dalam beribadat kepada-Nya sekalipun engkau tidak melihatNya. Maka maksud hadith tersebut berbunyi: Sekalipun engkau tidak melihat-Nya, teruskanlah ihsanmu dalam ibadat kerana Dia melihat engkau. Hadith ini adalah merupakan usul agama yang maha agong yang dihayati oleh orang-orang saleh
(Fathul Bari).


Hadith ihsan ini menjadi dalil bahawa melihat Allah dengan mata kepala dalam dunia ini tidak mungkin tercapai. Dalam masalah ini kata ibn-Hajar, terdapat pelampau sufi yang jahil bahasa Arab menta’wilkan hadith ini. Menurut sufi itu, hadith inilah merupakan maqam fana’ dan lebur diri, dengan membuat tafsiran “engkau fana’ dan lebur dari dirimu seolah engkau tidak ada, maka di kala itulah engkau melihat-Nya”. Tafsiran seperti ini, tegas ibn-Hajar, menunjukkan si sufi itu jahil dalam bahasa Arab. Keterangan lanjut sila lihat Fathul Bari kitab al-iman bab 37 m/s 164-165.


Rukun Iman Membentuk Peribadi Muslim


1. Beriman dengan Allah ialah dengan mengenal nama-nama-Nya yang indah (asma’ al-husnaa), sifat-sifat-Nya, dalil-dalil ada-Nya, dan alam semesta ini sebagai tanda keagongan-Nya. Bila dalam hati iman menyerah, maka perasaan mulia dan akhlak terpuji pun terserlah. Kerana iman itu meniupkan semangat kebaikan dalam diri, mendidik budi pekerti mulia dengan sentiasa meneliti mana-mana sifat yang buruk maka dijauhi dan sifat yang baik maka dihayati.

2. Beriman dengan malaikat bererti diisebalik alam nyata kita ini ada lagi alam lain yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar iaitu alam malaikat, jin, dan roh. Alam yang kita tidak nampak ada kuasa baik yang terdiri daripada mala’ikat dan kuasa jahat yang terdiri daripada iblis dan syaitan. Jin ada yang Islam dan ada yang kafir. Kita diajak meniru perilaku malaikat yang serba baik dan terpuji, bekerjasama dengan mereka dalam perkara kebenaran dan kebaikan.

3. Beriman dengan kitab-kitab yang turun dari langit yang menerangkan apakah yang dinamakan benar dan hak, dan apapula yang dinamakan salah dan batil, begitu juga tentang halal dan baram, elok dan jelek, serta kebaikan dan keburukan. Dengan ini kita dapat mengenal dan menempuh jalan yang lurus, bijaksana lagi diredhai Allah Ta’ala. Hukum hakam yang terkandung dalam kitab Allah itulah yang dijadikan undang-undang hidup sama ada untuk diri dan juga masyarakat.

4. Beriman dengan para nabi dan rasul yang Allah utuskan kepada manusia, Mereka membawa ajaran dari Allah untuk menjadi suluh kepada manusia agar mereka perolehi kebahagiaan dunia dan akhirat. Maka kitapun ikuti jejak langkah mereka, berakhlak seperti akhlak mereka. Meraka adalah teladan yang baik bagi kita.

5. Beriman dengan Hari Akhirat, laitu selain daripada alam dunia kita ini ada lagi alam lain. Alam ini digelar alam balasan. Kerana segala amalan kita di dunia walaupun sebesar atom adalah dikira. Amalan baik dibalas baik dan amalan jahat diberi balasan yang setimpal dengannya. Kewujudan alam akhirat ini amatlah benar kerana setiap orang akan diadili walaupun dalam dunia ini mereka terlepas.

6. Beriman dengan qadha’ dan qadar. Sistem alam semesta berjalan di atas landasan yang telah ditentukan Allah. Maka kita sanggup menjalani kewajiban dan tanggungjawab dengan hati yang suci dan tabah. Kita sanggup menghadapi segala rintangan dan cabaran hidup walau bagaimana besarnya sekalipun dianggap kecil dan nihil belaka.

p/s: bab 1 ini akan bersambung dalam membincangkan bab ketuhanan dan kenabian dalam posting yang akan datang....

Rujukan

Al-Quran al-Karim

Fathul Bari Bi Syarah al-Bukhari: Kitab al-Iman, Kitab al-Dakwat,Kitab al-Tahjid, Kitab al-I'tisam Bil Kitab Wa Sunnah, Kitab Bada' al-Khalq, Kitab al-Tauhid. Turmuzi, Kitab al-Dakwat, Kitab al-Iman.


ADA JAWAPAN KA, BILA KITA BERDEPAN TUHAN NANTI ??